hadis

  • Ringan solat namun tetap sempurna

    Daripada Anas bin Malik, dia berkata: Rasulullah SAW meringankan dan menyempurnakan solat.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 167.

  • Meringankan solat

    Daripada Abu Mas’ud, dia berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, maka dia berkata; wahai Rasulullah, sesungguhnya saya melambatkan menghadiri solat Subuh kerana polan panjang dalam bacaannya. Dia (Abu Mas’ud) berkata: Maka saya tidak pernah lihat Rasulullah SAW memberikan nasihat dengan kemarahan sebagaimana hari itu, maka baginda bersabda; wahai manusia sekalian! Sesungguhnya antara kamu ada orang-orang yang menjadikan manusia lari! Maka, siapa saja daripada kamu solat bersama orang ramai hendaklah meringankan solatnya. Maka, sesungguhnya dalam kalangan mereka ada orang lemah, orang tua dan orang yang mempunyai keperluan.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 166.

  • Orang yang berhak jadi imam

    Daripada Malik bin al-Huwairits berkata: Saya datang kepada Nabi SAW, saya dan teman saya, maka ketika kami hendak pergi (beredar), baginda bersabda kepada kami; jika waktu solat tiba, maka azan dan iqamatlah kamu, dan hendaklah yang lebih besar (tua) daripada kamu menjadi imam.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 164/165.

  • Seruan agar berinfak

    Daripada Abu Hurairah (RA), dia berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Allah Taala berfirman: Berinfaklah wahai anak Adam, nescaya diinfakkan (diberi nafkah) atasmu. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Infak yang terpuji adalah infak pada ketaatan, demikian juga pada keluarga dan tamu.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 400

  • Dua malaikat turun dan berkata

    Daripada Abu Hurairah (RA), dia berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidaklah dari suatu hari seorang hamba berpagi-pagi padanya, kecuali ada dua malaikat turun. Maka, satu daripada kedua-duanya berkata: Wahai Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak. Dan berkata yang satu lagi: Wahai Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang menahan (tidak menginfakkan hartanya). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 400

  • Rasulullah tidak kata tidak apabila diminta sesuatu

    Daripada Jabir (RA), dia berkata: Tidak pernah diminta kepada Rasulullah (SAW) sesuatu, maka baginda berkata: Tidak. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 400

  • Harta kamu apa yang kamu belanjakan

    Daripada Ibnu Mas’ud (RA), dia berkata Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Siapakah antara kamu yang harta pewarisnya lebih dia cintai daripada hartanya sendiri? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah! Tidak ada antara kami seorang pun melainkan hartanya lebih dia cintai terhadapnya. Baginda bersabda: Maka, sesungguhnya hartanya adalah yang dia persembahkan (dengan berinfak, belanja), sedangkan harta pewarisnya apa yang dia tinggalkan. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Hadis ini secara tidak langsung mengingatkan kita agar menggunakan atau membelanjakan harta pada jalan kebaikan agar harta itu memberikan manfaat kepada kita.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 399.

  • Kaya yang sebenar-benarnya

    Daripada Abu Hurairah (RA), daripada Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Bukanlah kekayaan kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan ialah kaya jiwa. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)

    HURAIAN

    ‘aradh (ain-ra-dho’) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai harta. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Maksud hadis ini ialah kekayaan hakiki bukan dengan banyaknya harta yang disertai dengan kerakusan, tetapi kekayaan sejati adalah orang yang berasa cukup dan bersikap qanaah dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

    Kekayaan yang dipuji adalah kekayaan jiwa, kerana ia akan mencegah daripada dorongan rasa tamak, sehingga menjadi mulia.

    Seorang penyair mengatakan:

    Sesiapa menghabiskan semua waktunya untuk mengumpulkan harta kerana takut miskin

    Maka, itulah kemiskinan yang sebenarnya

    Orang bijak mengatakan:

    Kami rela dengan pemberian Allah Yang Maha Perkasa kepada kami

    Kami memiliki ilmu, sedangkan orang jahil mempunyai harta

    Harta akan habis sekejap lagi

    Sementara ilmu adalah perbendaharaan yang takkan lenyap.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 388.

  • Hujung lengan baju Nabi SAW

    Daripada Asma’ binti Yazid (RAnhuma), dia berkata: Hujung lengan baju Rasulullah (SAW) adalah sampai pergelangan tangannya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud & At-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

    HURAIAN

    Rushghu (ra-sod-ghin) dalam teks hadis diberikan erti sebagai persendian antara telapak tangan dan hasta.

    Ada yang mengatakan hikmah mencukupkan diri memakai baju sampai pergelangan tangan kerana jika baju melampaui tangan, nescaya akan memberatkan bagi orang yang memakainya. Begitu pula jika terlalu pendek dari itu, akan menyakiti hastanya kerana terkena panas dan hujan. Sebaik-baik urusan adalah pertengahannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 379.

  • Bahagialah orang mendapat petunjuk Islam

    Daripada Abu Muhammad Fadhalah bin Ubaid al-Ansoriyyi (RA), dia mendengar Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Berbahagialah sesiapa yang diberikan petunjuk kepada Islam, dan adalah hidupnya mencukupi, dan menerima apa adanya (qanaah). (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Kafaf (kaf-fa-alif-fa) dalam teks hadis itu diberikan maksud cukup, tidak lebih, tidak kurang.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 378/379.