hadis

  • Beruntung orang memeluk Islam, rezeki cukup dan qanaah

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As (RAnhuma), bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya beruntung sesiapa memeluk Islam dan adalah rezekinya mencukupi dan dia bersifat qanaah kepada Allah dengan apa yang diberikan kepadanya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Al-Qurthubi berkata: Makna hadis ini adalah orang yang mendapatkan tiga hal yang disebutkan dalam hadis, bererti dia telah memperoleh apa yang dia cari di dunia dan akhirat,

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 378.

  • Aman, sihat dan ada makanan seolah-olah dunia bersama perhiasan terhimpun untuknya

    Daripada Ubaidullah bin Mihson Al-Ansoriyyi Al-Khatmiyy (RA) berkata: Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Sesiapa antara kamu yang berpagi-pagi dalam keadaan aman pada dirinya, tubuhnya sihat dan memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dunia bersama perhiasannya telah dihimpun untuknya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan gharib)

    HURAIAN

    Sirbihi (sin-ra-ba-ho) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai dirinya atau kaumnya. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Boleh lihat ayat 3-4 surah Quraisy.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 378.

  • Mulai berbelanja kepada orang menjadi tanggungan

    Daripada Abu Umamah (RA), berkata: Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Wahai anak Adam! Sesungguhnya kamu mendermakan kurnia yang diberikan kepada kamu lebih baik bagi kamu, dan menahannya buruk bagi kamu. Kamu tidak dicela atas kecukupan, dan mulailah dengan orang yang menjadi tanggunganmu. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih – ada juga dalam sahih Muslim)

    HURAIAN

    Maksudnya mendermakan rezeki daripada Allah lebih baik bagimu di dunia dan akhirat, sedangkan menahannya buruk bagimu, kerana tidak menunaikan hak dan menyibukkan hati daripada menghadap kepada Allah. Kamu tidak dicela kerana menahan apa yang mencukupkanmu, menutupi keperluanmu, dan mulailah menafkahi orang yang berada dalam tanggunganmu.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 377/378.

  • Baju besi Nabi SAW digadaikan kepada orang Yahudi

    Daripada Aisyah (RAnha) dia berkata: Rasulullah (SAW) meninggal dunia sementara baju besi baginda digadaikan kepada orang Yahudi dengan 30 sha’ gandum. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Ibnu Thala’ menyebutkan, sepeninggalan Nabi SAW, Abu Bakar membayar kembali baju besinya (daripada orang Yahudi).

    Sumber hadis/huraian: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 375.

  • Betapa zuhud kehidupan Rasulullah hingga saat akhir

    Daripada Abu Musa Al-Asy’ari (RA) berkata: Aisyah (RAnha) mengeluarkan kepada kami baju dan sarung kasar, dia berkata: Rasulullah (SAW) wafat pada kedua-dua ini (sewaktu mengenakan dua pakaian ini). (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Hadis menggambarkan berpalingnya Nabi SAW daripada duniawi, serta cukup dengan pakaian sederhana.

    Hadis ini juga mengandungi anjuran kepada orang mengikuti jalan baginda untuk melakukan hal yang sama.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 371.

  • Orang fakir ramai masuk syurga, manakala penghuni neraka lebih ramai wanita

    Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin al-Husoin RA, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Saya telah mendatangi syurga, maka saya melihat lebih ramai penghuninya adalah orang-orang fakir. Dan saya juga telah mendatangi neraka, maka saya melihat lebih ramai penghuninya adalah wanita. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh Imam Muslim [daripada Ibnu Abbas], dan al-Bukhari [daripada Imran]).

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan keutamaan orang fakir dan memberikan motivasi kepada mereka, dan secara tidak langsung menganjurkan agar meninggalkan kemewahan dunia.

    Juga mengingatkan wanita agar terselamat daripada tergolong penghuni neraka.

    Sumber hadis: Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 364.

  • Orang fakir masuk syurga lebih dulu daripada orang kaya

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang-orang fakir masuk syurga sebelum orang-orang kaya dengan (selisih waktu) lima ratus tahun. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan keutamaan orang fakir yang bersabar atas orang kaya yang bersyukur, kerana orang-orang kaya akan tertahan dulu untuk dihisab.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 363.

  • Rakus kepada kepada harta dan kemegahan lebih berbahaya

    Daripada Ka’ab bin Malik, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dua ekor serigala lapar yang dikirimkan kepada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada ketamakan seseorang terhadap harta dan kemuliaan (kemegahan), bagi agamanya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini mengungkapkan peringatan kerakusan terhadap harta dan kemegahan, kerana cinta dunia adalah pangkal segala jenis kesalahan. Rezeki Allah tidaklah ditarik dengan kerakusan orang yang rakus dan tidak tertolak dengan kebencian orang yang membencinya.

    Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Wahai Abdur Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta sebagai pemimpin, kerana sesungguhnya kamu apabila diberi tongkat kepimpinan tanpa meminta, maka kamu akan dibantu. Dan apabila kamu diberi kepimpinan kerana memintanya, maka kepimpinan itu akan diserahkan kepadamu.” Demikian menurut catatan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

  • Waspada fitnah harta

    Daripada Ka’ab bin ‘Iyadh RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya bagi setiap umat ada fitnah, dan fitnah umatku, harta. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 360

  • Rendahnya dunia di sisi Allah

    Daripada Sahal bin Sa’ad as-Sa’idi RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya dunia ini di sisi Allah dianggap sebanding dengan selembar sayap nyamuk, pasti Allah tidak akan memberi minum seteguk air pun dari dunia ini kepada orang kafir. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis ini adalah hasan sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini menjelaskan betapa hinanya dunia di sisi Allah. Oleh kerana itu Allah memberikan banyak hal daripada dunia ini kepada orang kafir dan orang fasik, kerana kehinaan mereka bersama dunia. Allah melindungi para nabi dan orang soleh dari dunia supaya mereka tidak ternoda oleh kehinaan dunia.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 359.