hadis

  • Bersegera dengan amalan ibadat sebelum datang tujuh perkara

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Segeralah dengan amalan-amalan sebelum datang tujuh perkara, adakah kamu menunggu melainkan kefakiran yang melupakan, atau kekayaan yang membuatkan melampaui batas, atau sakit yang merosakkan, atau masa tua yang tidak mengizinkan, atau maut yang mendadak, atau dajjal, seburuk-buruk perkara ghaib yang dinanti-nanti, atau kiamat, dan kiamat sangat membinasakan, dan sangat pahit. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

    HURAIAN

    Mengenai terjemahan: “masa tua yang tidak mengizinkan” dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya diterjemahkan “masa tua yang menguruskan”. Dalam sunnah.com diterjemahkan: “nyanyuk yang akan membuatkan tidak stabil dari segi mental”.

    Hadis ini mengandungi perintah agar bersegera melaksanakan amalan soleh sebelum menemui salah satu daripada bencana yang dapat menjadikan manusia bingung daripada melakukan pelbagai ibadat.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 423.

  • Waspada dengan kehidupan dunia

    Daripada Ibnu Mas’ud dia berkata: Nabi (SAW) membuat garis persegi empat dan membuat garis di tengah terkeluar (sedikit) darinya. Dan baginda membuat beberapa garis pada sisi garis tengah dari tengah garis itu. Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Ini adalah insan (manusia), dan ini adalah ajalnya, yang telah mengelilinginya, dan ini (garis) yang terkeluar (sedikit) adalah angan-angannya. Dan ini garis-garis kecil adalah rintangan-rintangan. Maka, jika dia lepas dari (garis) ini, dia akan digigit (garis) ini. Dan jika dia lepas dari (garis) ini, dia akan digigit (garis) yang ini. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Garis tengah ialah manusia, garis empat segi ialah ajal, garis-garis kecil ialah rintangan dan garis yang terkeluar dari segi empat ialah angan-angan.

    Anjuran untuk memendekkan angan-angan dan mempersiapkan diri menghadapi ajal yang datangnya tiba-tiba.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 423.

  • Jadilah sebagai orang asing di dunia

    Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah (SAW) memegang bahuku, maka baginda bersabda: Jadilah di dunia seolah-olah kamu asing atau pengembara. Dan adalah Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, maka jangan kamu tunggu pagi, dan apabila kamu pada waktu pagi, maka jangan kamu tunggu petang, dan gunakanlah (manfaatkan) daripada (masa) sihatmu untuk (masa) sakitmu, dan daripada (masa) hidupmu untuk (masa) matimu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 422.

  • Peluang orang fakir jana pahala

    Daripada Abu Hurairah (RA), bahawa orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah (SAW), maka mereka berkata: Orang-orang kaya telah memborong darjat-darjat ketinggian, dan nikmat yang kekal. Maka, baginda (SAW) berkata: Dan apakah itu (mengapa begitu)? Maka, mereka berkata: Mereka melakukan solat sebagaimana kami melakukan solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah, dan mereka membebaskan tawanan sedangkan kami tidak membebaskan tawanan. Maka, Rasulullah (SAW) berkata: Apakah tidak saya ajarkan kamu sesuatu yang dengannya kamu dapat menyusuli orang-orang yang mendahului kamu dan kamu mendahului dengannya orang-orang selepas kamu, dan tiada seorang pun yang lebih utama daripada kamu kecuali orang yang melakukan seperti yang kamu lakukan? Mereka berkata: Bahkan, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertahmid dan kamu bertakbir selesai setiap solat tiga puluh tiga kali. Maka, orang-orang fakir Muhajirin kembali semula kepada Rasulullah (SAW), maka mereka berkata: Saudara kami orang yang mempunyai harta telah mendengar dengan apa yang telah kami lakukan, maka mereka melakukan sepertinya? Maka, Rasulullah (SAW) bersabda: Demikian itu limpah kurnia Allah diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim – dan ini lafaz riwayat oleh Muslim – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, 417)

    HURAIAN

    Hadis ini menjelaskan betapa indahnya Islam yang memberikan peluang dan ruang ganjaran pahala tanpa membezakan darjat atau kedudukan. Orang fakir, walaupun tidak mampu untuk menderma atau bersedekah, masih berpeluang menjana pahala besar dengan amalan seperti bertasbih (mengucapkan Subhanallah – ertinya, Maha Suci Allah), bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah – ertinya, pujian bagi Allah) dan bertakbir (mengucapkan Allahu akbar – ertinya, Allah Maha Besar), seperti disebutkan hadis itu.

  • Sikap terpuji Rasulullah tidak mengesampingkan sesiapa walaupun seorang budak

    Daripada Sahl bin Sa’d (RA) bahawa Rasulullah (SAW) diberikan dengan minuman, maka baginda minum daripadanya, dan di kanannya ada budak lelaki, dan di kirinya orang-orang tua, maka baginda berkata kepada budak itu: Adakah kamu membenarkan saya untuk memberikan (minuman ini) kepada mereka? Maka, budak itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, saya tidak akan mendahulukan seorang pun daripada saya untuk mendapatkan bahagian saya daripada anda. Maka, Rasulullah (SAW) meletakkannya (minuman itu) pada tangannya (budak itu). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Budak itu (dalam terjemahan Riyadus Solihin, remaja) adalah Abdullah bin Abbas.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 413.

  • Tiada hasad, kecuali pada orang diberikan harta dan hikmah

    Daripada Abdullah bin Mas’ud (RA) berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiada hasad kecuali pada dua: Seorang lelaki diberikannya oleh Allah harta, maka dia gunakan harta itu pada al-haq (kebenaran), dan seorang lelaki diberikannya oleh Allah hikmah (ilmu kebijaksanaan), maka dia mempraktikkan dengannya dan mengajarkannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menekankan menggunakan harta pada jalan kebenaran serta mengamalkan ilmu atau kepandaian diperolehi dan mengajarkannya pula kepada orang lain.

    Riyadus Solihin & Penjelasan, 416

  • Tiada hasad, kecuali pada orang diberikan al-Quran dan harta

    Daripada Ibn Umar (RA), bahawa Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiada hasad kecuali pada dua: Seorang lelaki diberikan kepadanya oleh Allah (kepandaian) al-Quran, maka dia mendirikannya (beramal dengannya, selalu membacanya) pada malam dan siang. Dan seorang lelaki diberikan kepadanya oleh Allah harta, maka dia menafkahkannya pada malam dan siang.

    Riyadus Solihin & Penjelasan, 416

    HURAIAN

    Hadis ini menekankan mengenai orang yang pandai al-Quran, lalu dia beramal dengannya siang dan malam – hidupnya berlandaskan al-Qutan, berdamping dengannya atau tidak renggang daripadanya, serta orang yang diberikan kesenangan harta, lalu dia menggunakannya untuk menafkahkan ahli keluarganya, di samping infak pada jalan kebenaran yang lain.

  • Takutlah kezaliman, kikir

    Daripada Jabir (RA) bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Takutlah kezaliman. Maka, sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan takutlah sifat kikir, maka sesungguhnya kikir membinasakan orang sebelum kamu, menyebabkan mereka menumpahkan darah (sesama) mereka dan mereka menghalalkan apa yang diharamkan kepada mereka. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Maksudnya mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah kepada mereka, lantaran rakus terhadap harta. Misalnya mereka (kaum Yahudi) membuat muslihat terhadap apa yang diharamkan Allah kepada mereka berupa lemak-lemak yang dicairkan, kemudian dijual. Misal yang lain, orang-orang Yahudi melakukan muslihat untuk memburu ikan, lalu mereka membuat jaring (memasang jaring) pada hari Jumaat dan mengambilnya pada hari Ahad. Masih banyak bukti lain yang telah mereka lakukan berupa menghalalkan apa yang telah diharamkan kepada mereka dan menumpahkan darah sesama mereka. Itu semua dipicu oleh sifat kikir.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 409.

  • Makanan dan berkat

    Daripada Abu Hurairah (RA), dia berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Makanan untuk dua orang cukup untuk tiga orang, dan makanan tiga orang cukup untuk empat orang. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

    Dalam riwayat Muslim daripada Jabir (RA), Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Makanan satu orang cukup untuk dua orang, dan makanan dua orang cukup untuk empat orang, sedang makanan empat orang cukup untuk lapan orang.

    HURAIAN

    Maksud hadis ini adalah motivasi untuk berbuat mulia dan bersikap qanaah dengan kecukupan.

    Dalam hadis diriwayatkan oleh ath-Thabrani: Makanlah kamu semua dan jangan terpecah belah, kerana makanan satu orang cukup untuk dua orang. Berdasarkan hadis ini dapat diambil kesimpulan bahawa rasa cukup itu terjadi kerana berkat kebersamaan. Setiap kali perkumpulan orang bertambah, maka bertambah pula berkatnya.

    Dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa menolong orang lain dapat mengundang datangnya berkat.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 411.

  • Tiada hasad kecuali pada dua hal

    Daripada Ibnu Mas’ud (RA), daripada Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiada hasad (iri hati) kecuali pada dua perkara; seorang lelaki diberikan kepadanya oleh Allah suatu harta, maka dia menghabiskannya pada kebenaran; dan seorang lelaki diberikan kepadanya oleh Allah hikmah (ilmu pengetahuan), maka dia mengadili dengannya dan mengajarkannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 399.