hadis

  • Tidur dalam masjid

    Daripada Ibnu Umar, dia berkata: Pada masa Rasulullah SAW kami biasa tidur di masjid.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 128

  • Berbangga-bangga dengan masjid

    Daripada Anas bin Malik, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kiamat tidak akan datang hingga manusia berbangga-bangga dengan masjid.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 126

  • Keutamaan azan

    Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin as-Sobbah, telah menceritakan kepada kami Sufyan bin Uyainah, daripada Abdullah bin Abdur Rahman bin Abu So’so’ah daripada bapanya, dan adalah bapanya dalam asuhan Abu Said – dia berkata kepadaku: Apabila kamu berada di gurun pasir, maka tingkatkanlah suara azanmu, sebab aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah mendengarnya (suara azan) baik jin, manusia, pepohonan dan batu kecuali menjadi saksi baginya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 124

  • Anjuran bersedekah daripada hasil usaha yang baik

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa bersedekah dengan sesuatu senilai sebiji kurma daripada usaha yang baik, dan (memang) Allah tidak menerima kecuali yang baik, maka sesungguhnya Allah menerimanya (sedekah itu) dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia memeliharanya untuk pemilik sedekah (orang melakukannya), sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kudanya hingga menjadi seumpama gunung. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar bersedekah dan menegaskan bersedekah pula daripada hasil usaha yang baik, bukannya daripada hasil pekerjaan buruk.

    Mengenai “tangan kanan-Nya”, Tirmidzi berkata: Ahlul ilmi (ahli ilmu) daripada kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah menegaskan, kita mengimani hadis-hadis ini dan tidak melakukan penyerupaan serta tidak pula menanyakan bagaimana bentuknya. Inilah yang diriwayatkan daripada Malik, Ibnu Uyainah, Ibnu Mubarak, dan selain mereka. – Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 407.

  • Sedekah, sabar, tidak meminta-minta dan empat jenis manusia

    Daripada Abu Kabsyah Amru bin Saad Al-Anmari, bahawa dia mendengar Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiga yang aku bersumpah atasnya, dan aku menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka jagalah ia: Tidak berkurang harta seorang hamba daripada sedekah; tidaklah seseorang bersabar apabila dizalimi dengan suatu kezaliman melainkan Allah akan menambahkan kemuliaan kepadanya; dan tidaklah seorang hamba membuka pintu meminta-minta melainkan Allah membuka atasnya pintu kefakiran – atau kalimah seumpamanya. Dan saya menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka jagalah. Baginda bersabda: Sesungguhnya dunia ini untuk empat orang: Seorang hamba dikurniakan harta dan ilmu oleh Allah, maka dia bertakwa padanya kepada Rabbnya, dan dia menyambung padanya (dengan harta dan ilmu) rahimnya, dan mengetahui padanya hak-hak Allah. Maka, ini adalah kedudukan paling utama. Seorang hamba yang diberikannya ilmu oleh Allah dan tidak diberikan harta tapi dia berniat benar, dia berkata: “Sekiranya aku memiliki harta nescaya aku melakukan dengan amalan (apa yang dilakukan oleh) polan”. Maka, dia dengan niatnya. Maka, pahala kedua-duanya (orang pertama dan orang kedua) sama. Dan seorang hamba diberikan oleh Allah kepadanya suatu harta, tapi tidak diberikannya ilmu. Maka, dia menggunakan hartanya tanpa ilmu, dia tidak bertakwa padanya (dengan harta itu) kepada Rabbnya, dan tidak menyambung padanya (dengan harta itu) rahimnya, dan dia tidak mengetahui padanya (dengan harta itu) hak Rabbnya. Maka, ini adalah kedudukan paling buruk. Dan seorang hamba yang tidak diberikan oleh Allah kepadanya harta dan ilmu, maka dia berkata: “Sekiranya aku memiliki harta, nescaya aku melakukan padanya (dengan harta itu) dengan amalan (apa yang dilakukan oleh) polan”. Maka, dia dengan niatnya. Maka, dosa kedua-duanya sama. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Tiga perkara disebutkan:

    1. Sedekah tidak mengurangkan harta.

    Pada surah Saba, ayat 39 diterangkan: Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki.

    2. Orang bersabar atas suatu kezaliman akan ditambahkan kemuliaan kepadanya.

      Pada surah asy-Syura, ayat 43 diterangkan: Dan orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.

      3. Orang membuka pintu meminta-minta (sentiasa berkehendak) selalu berasa sangat memerlukan atau tidak pernah cukup.

        Pada surah Fathir, ayat 15 diterangkan: Hai manusia, kamu yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

        Empat yang disebutkan:

        1. Orang berilmu dan berharta – dia menggunakannya untuk bertakwa kepada Allah, menyambung hubungan rahim (silaturahim), dan mengetahui hak Allah (melaksanakan hak yang ditetapkan oleh Allah).

        2. Orang berilmu tapi tiada harta – namun dia mempunyai niat yang benar untuk melakukan seperti yang dilakukan oleh orang pertama sekiranya diberikan harta.

        3. Orang diberikan harta, tapi tidak diberikan ilmu – dia menggunakan hartanya tanpa ilmu, tidak bertakwa, tidak menyambung hubungan rahim dan tidak mengetahui (atau ambil tahu) hak Allah pada harta itu.

        4. Orang tidak diberikan harta dan ilmu – tapi dia akan melakukan seperti yang dilakukan oleh orang ketiga sekiranya diberikan harta.

          Polan ialah merujuk kepada seseorang secara umum.

          Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 403/404

        1. Sedekah tidak mengurangkan harta, maaf menambah kemuliaan dan tawaduk mengangkat darjat

          Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidak mengurangkan sedekah daripada harta. Dan tidak menambahkan Allah seorang hamba dengan memberi kemaafan melainkan kemuliaan. Dan tidak tawaduk (merendah diri) seorang kerana Allah melainkan Allah mengangkatnya (darjatnya). (Diriwayatkan oleh Muslim)

          HURAIAN

          Sedekah tidak mengurangkan harta. Malah sedekah menghindarkan bencana dan menjadi sebab turunnya berkat.

          Orang yang pemaaf dimuliakan. Allah menambah kemuliaannya.

          Demikian pula orang bersikap tawaduk atau merendah diri diangkat atau ditinggikan darjatnya di sisi Allah.

          Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 403

        2. Dua perkara baik dalam Islam

          Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah (SAW): Apakah dalam Islam yang baik? Baginda bersabda (mafhumnya): Kamu memberi makan, dan kamu mengucapkan salam ke atas sesiapa yang kamu kenal dan sesiapa yang kamu tidak kenal. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

          HURAIAN

          Maksud memberi makan di sini adalah memberi sedekah, hadiah, menjamu tamu dan seumpamanya; demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

          Sabda baginda: “Dan kamu mengucapkan salam ke atas sesiapa yang kamu kenal dan sesiapa yang kamu tidak kenal”, maksudnya menyebarkan salam kepada setiap orang yang kamu temui.

          Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 401

        3. Sikap pemurah Rasulullah memberikan kambing di antara dua bukit

          Daripada Anas (RA), dia berkata: Tidaklah diminta kepada Rasulullah (SAW) sesuatu atas Islam melainkan baginda memberikannya. Dan pernah ada seorang lelaki datang kepadanya, maka baginda memberikannya kambing di antara dua bukit. Maka, lelaki itu pulang kepada kaumnya. Maka, dia berkata: Wahai kaum, masuklah Islam, maka sesungguhnya Muhammad memberi pemberian seperti orang yang tidak takut fakir. Walaupun lelaki itu masuk Islam tidaklah dia kehendaki melainkan dunia. Maka hanya sebentar sahaja Islam menjadi lebih dicintainya daripada dunia dan apa yang ada di atasnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

          HURAIAN

          Hadis ini menunjukkan bolehnya memberikan suatu pemberian kepada orang yang hendak dijinakkan hatinya agar mereka tertarik masuk Islam,

          Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 402

        4. Kelusuhan daripada iman

          Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Ansoriyyi al-Haritsi (RA) berkata: Suatu hari para sahabat Rasulullah (SAW) menyebut-nyebut dunia di sisi baginda. Maka, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu mendengar? Sesungguhnya kelusuhan daripada iman, sesungguhnya kelusuhan daripada iman, yakni orang kering kulitnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

          HURAIAN

          Badzadzah (ba-za-alif-za-ta bulat) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai keadaan orang yang berpakaian usang dan meninggalkan baju kebanggaan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya

          taqahhul (ta-qaf-ha-lam) diterjemahkan sebagai orang yang kering kulitnya kerana hidup kasar dan meninggalkan kemewahan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

          Kelusuhan termasuk bahagian daripada iman kerana dapat menundukkan jiwa dan memicu bersikap tawaduk.

          Nabi ISA (AS) berkata: Keindahan pakaian adalah kesombongan hati.

          Ali (RA) pernah dicela kerana memakai kain yang bertambal, maka beliau berkata: Semua ini supaya dapat diteladani orang Mukmin dan menjadikan hati khusyuk.

          Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 380.

        5. Pembuka solat

          Muhammad bin Amru bin ‘Atho berkata: Aku mendengar Abu Humaid as-Sa’idiyy berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila bangun untuk mendirikan solat, baginda menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangannya, dan baginda mengucapkan “Allahu Akbar”.

          Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 136