hadis

  • Sebaik-baik manusia

    Daripada Abu Sofwan Abdullah bin Busr al-Aslami RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang usianya dan baik perbuatannya. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan panjang usia ketika digunakan untuk melakukan amalan kebaikan. Dalam riwayat lain disebutkan “seburuk-buruk kamu ialah orang yang panjang usianya tetapi buruk perbuatannya”.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 118

  • Kelebihan bersujud

    Daripada Abu Abdullah dan dikatakan (juga) dengan nama Abu Abdur Rahman, Tsauban, maula Rasulullah SAW berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud, kerana sesungguhnya kamu tidak sekali-kali bersujud kepada Allah dengan sekali sujud melainkan Allah mengangkat kamu dengannya satu darjat dan dengannya pula Allah menghapuskan satu kesalahan daripada diri kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Latar belakang Tsauban meriwayatkan hadis ini ialah bahawa Ma’dan bin Thalhah berkata: “Saya datang kepada Tsauban, lalu saya berkata: Berilah saya maklumat mengenai amalan perbuatan yang ketika saya lakukan Allah memasukkan saya ke dalam syurga.”

    Atau dia mengatakan: “Amalan perbuatan yang paling dicintai oleh Allah.”

    Maka, Tsauban terdiam. Kemudian Ma’dan mengulangi pertanyaan lagi. Tsuaban pun terdiam. Lantas Ma’dan mengulangi pertanyaannya lagi yang kali ketiga.

    Lalu Tsauban berkata: “Saya pernah menanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lantas baginda bersabda: Hendalah kamu memperbanyakkan sujud…”

    Pada bahagian akhir disebutkan: “Kemudian saya bertemu Abu Darda’ lalu saya bertanya kepadanya. Maka, dia pun mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh Tsauban.”

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 117

  • Syurga, neraka dekat pada seseorang

    Daripada Ibnu Mas’ud RA berkata: Nabi SAW bersabda: Syurga lebih dekat pada seorang antara kamu sekalian daripada ikat sandalnya dan neraka demikian juga. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Penjelasan

    Dalam hadis ini ada anjuran terhadap amalan kebaikan meskipun sedikit dan peringatan daripada melakukan kejahatan meskipun sedikit. Ketaatan dapat mendekatkan (seseorang) kepada syurga, sedangkan maksiat mendekatkan kepada neraka.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 116

  • Neraka dilitupi dengan pelbagai syahwat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Neraka dilitupi dengan pelbagai syahwat, sedangkan syurga dilitupi dengan pelbagai hal tidak disenangi. (Muttafaq alaih — Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 114

  • Orang Mukmin kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah.

    Tetapi masing-masing daripada kedua-duanya mempunyai sisi kebaikan.

    Berlumbalah untuk meraih apa saja yang dapat memberikan manfaat padamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah berasa lemah.

    Apabila sesuatu menimpamu, maka janganlah kamu berkata “kalau saya melakukan begini, tentu akan menjadi begini dan begini”. Tetapi katakanlah takdir Allah. Dan Dia melakukan apa saja yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya ucapan “kalau” membuka jalan amalan syaitan. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 114

  • Qiyamullail sampai telapak kaki pecah-pecah

    Daripada Aisyah RAnha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukan qiyamullail di sebahagian waktu malam sampai kedua-dua telapak kakinya pecah-pecah.

    Lantas saya bertanya kepadanya: Mengapa anda berbuat demikian, wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampunkan dosa-dosa anda yang telah lalu dan yang kemudian?

    Rasulullah SAW bersabda: Apakah saya tidak suka jika saya menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur? (Muttafaq alaih — Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 113

  • Dua nikmat selalu dilalaikan manusia

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda; dua nikmat yang sering dilalaikan pada kedua-duanya oleh ramai daripada manusia; (iaitu) kesihatan dan kelapangan (waktu). (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 112

  • Rasulullah menyerahkan bendera kepada Ali

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari perang Khaibar: “Sungguh bendera ini akan aku berikan kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya. Allah akan membebaskan melalui dua tangannya.”

    Umar RA berkata: Saya tidak menginginkan kepemimpinan melainkan pada hari itu, kemudian saya bersikap untuk menonjolkan diri pada Nabi SAW dengan harapan agar saya dipanggil untuk memegang bendera itu.

    Tiba-tiba Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abu Talib, lalu baginda memberikan bendera itu padanya dan baginda bersabda: Berjalanlah dan jangan menoleh-noleh lagi sehingga Allah memberi kemenangan melalui dirimu.

    Ali berjalan beberapa langkah kemudian berhenti tanpa menoleh, kemudian dia berteriak (bersuara): Wahai Rasulullah, sampai batas apa saya akan memerangi para manusia?

    Rasulullah SAW menjawab: Perangilah mereka sehingga mereka bersaksi bahawa tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Apabila mereka telah melakukan hal itu, maka bererti mereka telah menjaga darah mereka daripadamu dan harta mereka, melainkan dengan haknya, sedang hisab mereka itu atas Allah (bergantung pada Allah). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 110

  • Segera melakukan amalan kebaikan sebelum datang tujuh perkara

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bersegeralah kamu sekalian melakukan amalan kebaikan sebelum datang tujuh macam perkara. Apakah kamu masih saja menunggu-nunggu sehingga kamu mengalami kefakiran yang melalaikan, atau kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau terkena penyakit yang merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak karuan lagi, atau datangnya kematian yang mempercepatkan, atau datang dajjal maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu, atau tiba hari kiamat maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini adalah hadis [status] hasan)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 109

  • Akhlak baik bawa kebaikan dunia akhirat

    Menurut riwayat Abu Bakar an-Najjad daripada Hamid bin Anas RA: Bahawa Ummu Habibah pernah bertanya, “wahai Rasulullah, ada wanita yang semasa di dunia ini pernah bersuamikan dua orang lelaki. Dengan suami yang manakah dia akan dijodohkan?”

    Baginda menjawab, “(dia dijodohkan) dengan salah seorang daripada kedua-duanya yang akhlaknya paling baik terhadapnya semasa di dunia.”

    Baginda bersabda: Wahai Ummu Habibah, akhlak yang luhur (baik) itu membawa kebaikan di dunia dan akhirat. (Hadis diriwayatkan Muslim dan al-Bukhari)

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 572-573